KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh kedudukannya dalam rundingan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila Kabinet Persekutuan bersetuju melantik dua wakil dari negeri ini untuk menganggotai Jawatankuasa Teknikal serta Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata pelantikan itu melibatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi memperkasa penyertaan Sabah dalam proses perundingan di peringkat Persekutuan.
“Untuk memantapkan proses perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 ini, Kabinet telah bersetuju melantik dua Menteri daripada Sabah untuk menganggotai jawatankuasa teknikal dan juga MTPMA63
“Ini menunjukkan komitmen untuk memastikan suara dan kepentingan rakyat Sabah diangkat secara lebih langsung dalam setiap perbincangan berkaitan MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan yang bertempat di Hotel Sheraton, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 akan bermesyuarat pada 23 Februari ini untuk membincangkan isu-isu tertunggak termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Katanya, sebagai urus setia kepada MTPMA63, beliau akan membawa segala luahan dan keprihatinan pimpinan Sabah ke peringkat seterusnya.
“Isu MA63 khususnya berkaitan 40 peratus adalah antara agenda utama yang diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita mahu perkara ini diberi keutamaan di peringkat Persekutuan dan negeri supaya penyelesaiannya dapat dimuktamadkan dengan lebih tersusun dan berkesan,” jelasnya.
