Mustapha Sakmud dilantik Pengerusi PH Sabah baharu


KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu susulan penyusunan semula struktur kepimpinan gabungan itu di peringkat negeri.

Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat PH Sabah yang dihadiri komponen parti termasuk DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selepas beberapa jawatan dikosongkan berikutan keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bergerak di luar PH.

Mustapha berkata, mesyuarat itu turut bersetuju melantik Tuan Haji Abdul Razak Jamil daripada PKR sebagai Setiausaha PH Sabah, manakala Ketua Pemuda dilantik Saudara Zaidi Jatil.

“Jawatan Ketua Wanita yang disandang Jenny Rasimah dikekalkan, begitu juga timbalan-timbalan pengerusi dan kepimpinan sedia ada yang terus berperanan sebagai timbalan pengerusi PH negeri,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, penyusunan semula kepimpinan itu antara langkah strategik bagi memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita telah berbincang panjang lebar mengenai prestasi lalu dan keperluan memperkukuh struktur organisasi.

"Penyusunan ini penting untuk memastikan PH Sabah lebih bersedia dan tersusun dalam menghadapi PRN,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut memberi tumpuan serius terhadap isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Beliau berkata, pimpinan PH Sabah menyuarakan keprihatinan agar isu berkenaan dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan mahkamah.

“Saya akan membawa luahan dan pandangan ini ke peringkat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, Kabinet turut bersetuju melantik dua menteri dari Sabah iaitu Datuk Armizan Mohd Ali dan Datuk Arthur Joseph Kurup menganggotai jawatankuasa teknikal serta Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di peringkat induk bagi memantapkan proses perundingan.

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa teknikal dijadualkan pada 23 Februari ini yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan penyertaan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Jawatankuasa teknikal, khususnya melibatkan Kementerian Kewangan, akan memberi perkembangan terkini termasuk berkaitan isu ‘The Lost Years’ sebelum laporan dibawa untuk perbincangan lanjut,” jelasnya.

Mustapha menegaskan, isu 40 peratus di bawah MA63 merupakan antara agenda utama rakyat Sabah dan perlu diberi keutamaan di peringkat Persekutuan serta negeri.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia membabitkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah. Penyelesaiannya perlu dipercepat dan menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri dapat melihat tuntutan berkenaan sebagai agenda penting demi memastikan hak dan kepentingan Sabah terus dipelihara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama