Hujan lebat cetus banjir, pokok tumbang di Sandakan

SANDAKAN: Hujan lebat berterusan mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir, kejadian pokok tumbang serta beberapa jalan utama dinaiki air di daerah ini. 


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menggerakkan anggota bagi menjalankan pemantauan dan tindakan segera di semua lokasi terjejas.


“APM Sandakan telah menjalankan pemantauan dan tindakan segera di lokasi-lokasi yang terjejas susulan hujan lebat berterusan di daerah ini,” menurut kenyataan APM Sabah, hari ini.


Katanya, antara lokasi pokok tumbang yang dilaporkan ialah di Sekolah Kebangsaan St. Monica dan Bandar Sandakan yang telah selesai ditangani.


Manakala, kejadian di Taman Mutiara dan GIATMARA Batu Sapi masih dalam tindakan anggota di lapangan.


Kawasan terlibat banjir pula adalah di Kampung Pangeran dan Taman Fajar yang kini dalam pemantauan dan tindakan lanjut pihak APM.


Sementara itu, beberapa jalan turut dilaporkan dinaiki air, antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama dan Jalan Mahkamah, di sini. 


“Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.


“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” tambahnya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama