Bot ‘runner minyak’ ditahan di perairan Tawau

TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan disyaki terbabit kegiatan penyeludupan bahan api atau ‘runner minyak’ ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tawau, semalam.

Bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum berjaya dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 40 gelen petrol dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit sah.

“Pemeriksaan turut mendapati juragan bot gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata, bot, enjin dan semua muatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM46,000 manakala nilai petrol dan tong gas LPG yang dirampas kira-kira RM3,000.

Beliau berkata, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah maritim dan akan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama