44 PATI dicekup dalam Ops Sapu, Ops Kutip

KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan sekitar bandar raya ini, semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu dari 24 hingga 25 Februari lalu.

Menurut kenyataan JIM Sabah, seramai 24 pegawai penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan yang memeriksa 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.

“Hasil pemeriksaan mendapati 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan, dua adalah warganegara Indonesia membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa. Selebihnya adalah warganegara Filipina. 

"Mereka terdiri daripada lapan lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan.

"Semua yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya. 

JIM Sabah menegaskan penguatkuasaan akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi.

“Sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan diambil tindakan tegas. 

"Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama