TAWAU: Kerajaan Sabah bercadang menyemak semula silibus Sejarah di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami dengan jelas peranan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, bukannya sekadar menyertai negara ini.
Langkah ini dilihat penting bagi melengkapkan fakta sejarah yang selama ini kurang diperincikan dalam buku teks.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kebangsaan susulan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Katanya, kandungan silibus dan buku teks Sejarah ketika ini lebih menekankan bahawa Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, sedangkan hakikat sebenar menunjukkan kedua-dua wilayah itu bersama Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan negara ini.
“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat negeri dan insya-Allah akan saya suarakan dalam Mesyuarat Exco Pendidikan peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada April ini.
“Kita mahu silibus diperbaiki supaya fakta sejarah yang disampaikan kepada pelajar lebih tepat, seimbang dan mencerminkan realiti sebenar pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran SainsXplor Tawau, di sini, hari ini.
James menegaskan, semakan semula silibus Sejarah itu penting supaya generasi muda memahami sejarah lampau dengan lebih jelas, sekali gus menghargai sumbangan Sabah dalam pembentukan negara.
“Usaha ini bukan untuk mengubah atau menafikan fakta sejarah, sebaliknya melengkapkan kandungan sedia ada supaya lebih inklusif dan adil kepada semua pihak,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan mana-mana perkara yang tertinggal dalam silibus dapat diperbaiki dan diselaraskan.
“Kerajaan Sabah kekal komited bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kandungan pendidikan negara sentiasa relevan, tepat, dan selari dengan aspirasi pembinaan negara bangsa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 memaklumkan bahawa Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga akan diperkenal mulai 2027, membabitkan lima mata pelajaran utama termasuk Sejarah.
