Jannie Lasimbang perbaharui gesaan larangan perkahwinan bawah umur di Sabah


KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang, menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk menamatkan amalan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Sabah melalui pelaksanaan reformasi undang-undang yang sudah lama tertangguh.

“Saya menggesa agar tindakan segera diambil bagi menamatkan perkahwinan kanak-kanak di Sabah, khususnya melalui pelaksanaan reformasi undang-undang yang telah lama tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, satu program komprehensif selama 10 tahun bagi meminda undang-undang Adat dan Syariah telah dibangunkan semasa tempohnya sebagai Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri dari 2018 hingga 2020, namun tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Sebuah program komprehensif selama 10 tahun telah dirangka ketika saya memegang jawatan tersebut, namun ia tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini,” jelasnya.

Menurutnya, pindaan terhadap Enakmen Mahkamah Anak Negeri berkaitan perkahwinan kanak-kanak telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara sejak lebih lima tahun lalu, tetapi masih belum dibentangkan di peringkat Kabinet negeri.

“Pindaan ini telah diluluskan Jabatan Peguam Negara sejak lebih lima tahun lalu, tetapi masih tergendala di peringkat Kabinet,” tambahnya.

Jannie turut menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat agar meluluskan pindaan tersebut.

“Saya juga menggesa agar latihan kepada pegawai Mahkamah Anak Negeri diperkukuh dan sokongan kepada program kesedaran NGO di komuniti luar bandar berisiko tinggi diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama