RM21.47 juta naik taraf Jalan Taginambur–Kamburaon dijangka siap November 2027

 

KOTA BELUD: Projek naik taraf Jalan Taginambur–Kamburaon di Kadamaian yang melibatkan peruntukan RM21.476 juta, dijangka siap pada November 2027. 

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu merangkumi pengaspalan jalan sejauh 2.55 kilometer serta pembinaan sebuah jambatan konkrit dua hala.

“Apabila siap sepenuhnya, jalan ini akan memberi manfaat kepada ribuan penduduk, khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SMK Narinang dan SK Taginambur, selain menyokong aktiviti ekonomi kampung,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah projek naiktaraf jalan itu, di sini, pada Isnin. 

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata kemudahan jalan berturap akan terus menjadi keutamaannya kerana ia merupakan pemangkin ekonomi rakyat.

Beliau berkata beberapa projek jalan lain di Kadamaian turut sedang dilaksanakan, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus dan Jalan Podos, selain pembinaan Jambatan Kaung dan Jambatan Malangkap.

“Saya berharap lebih banyak projek naik taraf jalan perhubungan utama dapat dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian pada tahun ini, sejajar dengan keutamaan Kerajaan Sabah untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan asas jalan raua yang lebih selesa dan selamat,” jelasnya. 

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Tiong Kamburaon, Juhanis Tinggi, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan berharap penaiktarafan jalan diteruskan sehingga ke Kampung Tiong Manggis, Kampung Tiong Kamburaon dan Kampung Tambailik.

“Jalan ini melibatkan tujuh kampung dan penting untuk penduduk, terutama petani. Ia memudahkan penghantaran hasil pertanian, urusan ke sekolah, hospital dan membeli bekalan,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama