![]() |
| Suspek (dua dari kiri) ditahan di sebuah bilik sewa di sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki merogol anak saudaranya berusia 19 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata,laporan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang dimaklumkan oleh mangsa mengenai kejadian itu.
Menurutnya, berdasarkan laporan itu kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada di kediaman wanita terbabit.
“Mangsa mendakwa telah dirogol oleh suspek yang juga adik kepada suami wanita berkenaan sebelum pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik mengesahkan mangsa hamil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia lingkungan 40-an di sebuah bilik sewa di sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang semalam.
Jelas beliau lagi, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
"Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
