Insentif fiskal dicadang bantu pelajar dapat latihan industri berkualiti


KOTA KINABALU: Kerajaan disaran memperkenalkan insentif fiskal yang lebih fleksibel kepada majikan bagi memperkasa pelaksanaan Latihan Industri (LI) untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehsuaian graduan di negara ini.

Profesor Madya Dr. Jakaria Dasan dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata pelaksanaan LI wajar diangkat sebagai agenda strategik negara kerana ia berperanan sebagai jambatan kritikal yang menghubungkan pelajar dengan alam pekerjaan sebenar.

Menurutnya, walaupun generasi muda memiliki kemahiran digital yang tinggi, pengalaman di tempat kerja tidak boleh digantikan oleh pembelajaran dalam talian kerana LI membolehkan pelajar memahami budaya kerja, etika profesional serta menguji kesesuaian diri dengan kerjaya pilihan.

Namun, katanya, ramai pelajar berdepan kesukaran mendapatkan penempatan LI yang sesuai akibat keterbatasan peluang, kos sara hidup yang meningkat dan ketiadaan elaun daripada sesetengah organisasi, sekali gus memaksa pelajar menerima penempatan secara tangkap muat.

“Jika trend ini berterusan, objektif LI untuk menguji kemahiran pelajar mengikut kursus pengajian akan menjadi kurang bermakna,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertingkatkan potongan atau pengecualian cukai kepada majikan, khususnya syarikat persendirian dan usahawan baharu, yang menyediakan peluang LI serta elaun kepada pelajar.

Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja membantu kelangsungan perniagaan majikan, malah membuka lebih banyak peluang penempatan LI berkualiti kepada pelajar.

Jakaria menambah bahawa naratif pendidikan perlu beralih daripada sekadar mengejar kebolehpasaran graduan kepada memperkukuh kebolehsuaian graduan melalui kurikulum, kemahiran berdikari dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Katanya, usaha tersebut akan lebih berkesan apabila ekosistem LI turut diperkasa melalui dasar insentif yang mengiktiraf kos bimbingan, latihan dalaman, masa penyeliaan dan elaun minimum pelajar.

“Apabila insentif kerajaan direka dengan kelonggaran praktikal, majikan akan lebih terdorong menyediakan pengalaman LI yang lebih tersusun dan bermakna, bukan sekadar memenuhi syarat,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dialog industri–akademia, seperti yang diadakan baru-baru ini di FPEP UMS, merupakan platform penting bagi memastikan hala tuju program akademik selari dengan keperluan industri, dasar universiti dan piawaian badan akreditasi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama