16 PATI dicekup dalam operasi Imigresen di Keningau

KENINGAU: Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di beberapa lokasi sekitar daerah ini, hasil aduan awam dan risikan selama kira-kira seminggu.

Operasi yang dijalankan pada 21 Januari lalu itu membabitkan 15 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Keningau. 

Pemeriksaan ke atas 22 individu membawa kepada penahanan 15 PATI, masing-masing warganegara Filipina dan Indonesia, yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas sah.

Menurut JIM Sabah, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana berada di negara ini tanpa kebenaran.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan JIM Sabah bagi membanteras kemasukan dan kehadiran PATI, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

JIM Sabah turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI. 

Pada masa sama, katanya, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu penguatkuasaan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan,” tegasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama