![]() |
| Jumain (tengah) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Semua pendidik khususnya di institusi tahfiz diingatkan supaya lebih berhemah dalam mendidik pelajar khususnya berkaitan disiplin.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani menegaskan kekerasan fizikal bukanlah kaedah pendidikan yang betul walaupun pelajar melakukan kesalahan disiplin.
"Nasihat saya supaya pertama kalau kita mendidik anak-anak ini, sekiranya ada kesalahan terutama dari segi disiplin, ikut tatacara mendidik yang betul.
"Sebagai seorang pengajar yang berpengalaman, sepatutnya memberi nasihat secara berhemah dan memberi nasihat yang sewajarnya tanpa mengasari pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui media selepas Sidang Media Pengumuman Keputusan Rasmi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama dan Sijil Menengah Ugama Tahun 2025, pada Khamis.
Sidang media itu disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut beliau, tenaga pengajar pusat tahfiz swasta di Telipok yang didakwa mengasari pelajar di luar Cyber Cafe telah digantung tugas sementara siasatan penuh dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Keputusan menggantung tugas itu dibuat oleh ahli lembaga pengurusan tahfiz terbabit sebagai langkah awal bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh.
"Pusat tahfiz berkenaan merupakan institusi swasta yang berdaftar secara sah dengan JHEAINS, namun pengurusan dan tindakan tatatertib ke atas tenaga pengajar adalah di bawah bidang kuasa lembaga pengelola institusi tersebut.
“Pasukan JHEAINS telah turun padang melawat pusat tahfiz berkenaan dan mengambil laporan penuh sebaik isu ini tular.
"Perkara utama yang diberi perhatian serius ialah kapasiti dan kelayakan guru, khususnya melibatkan kes kekasaran pelajar,” ujarnya.
Dalam kejadian tular baru-baru ini, seramai 13 pelajar tahfiz dikesan berada di sebuah Cyber Cafe pada waktu malam.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
