PAWE Tuaran juara Pertandingan Suara Emas 2025 Sabah

 

Rina (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang.

RANAU : Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tuaran dinobatkan juara Pertandingan Suara Emas 2025 sempena Sambutan Warga Emas Negeri Sabah, pada Rabu.

Wakil PAWE Tuaran, Md Usop Durahim  memperoleh markah tertinggi dan menewaskan enam finalis lain termasuk wakil PAWE Pitas, Jahrin Mohd Ali (kedua) sementara tempat ketiga disandang oleh Zakaria Buang mewakili PAWE Elopura.

Pertandingan Suara Emas 2025 menerima 23 penyertaan merangkumi 43 penyertaan video dari PAWE seluruh Sabah antaranya Persatuan Pesara Ranau dan Persatuan Warga Emas Ranau dengan saringan awal dilaksanakan secara dalam talian melalui beberapa peringkat penilaian oleh panel juri sebelum tujuh peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal, berharap agar pertandingan tersebut diteruskan dan dijadikan acara tahunan bagi mencungkil bakat serta memperkasakan penglibatan warga emas dalam aktiviti seni dan kebudayaan.

"Penganjuran pertandingan ini bertujuan mengiktiraf sumbangan warga emas serta menyediakan platform untuk mereka menzahirkan bakat dalam bidang seni, di samping mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kekitaan," katanya ketika ditemui media pada pertandingan akhir di Dewan Masyarakat Ranau, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong serta Naib Yang di-Pertua Mutiara-GRS Datin Seri Panglima Linda Ewit.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama