TAWAU : Gara-gara menghantar mesej dan gambar berunsur seksual, seorang bekas guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) sebuah madrasah di sini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 15 tahun, April lalu.
Tertuduh yang berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menghantar mesej dan gambar yang mempunyai maksud seksual melalui aplikasi WhatsApp menggunakan telefon bimbit miliknya kepada mangsa, pada 4 April lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kampung di Jalan Sin San, Tawau, antara 1.48 tengah hari dan 2.10 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dengan alasan sudah tidak lagi mengajar serta perlu menanggung isteri dan menghidap asma.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan, selain syarat tambahan termasuk melarang tertuduh menghubungi atau mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari depan bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.
