Mahkamah Paris batal sepenuhnya ‘final award’, perintah waris Sulu bayar Malaysia RM957,000

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kejayaan besar dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘final award’ berjumlah AS$14.9 bilion (RM61.38 bilion) yang sebelum ini diberikan kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Mahkamah itu turut memerintahkan pihak terbabit membayar kos prosiding sebanyak €200,000 (RM957,140) kepada Malaysia.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata berdasarkan penghakiman diterima Putrajaya, keputusan berkenaan dibuat kerana arbitrator dari Sepanyol, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan final award tersebut pada 28 Februari 2022.

Beliau berkata, tindakan Stampa itu tidak sah kerana tiada sebarang perjanjian timbang tara yang mengikat Malaysia dalam prosiding berkenaan.

“Malaysia percaya kemenangan ini akan menamatkan cubaan tidak berasas pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium, untuk memeras wang dan aset milik rakyat Malaysia.

“Namun, Malaysia sentiasa bersedia meneruskan perjuangan di mana-mana mahkamah sekiranya tuntutan itu masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azalina menegaskan bahawa kerajaan komited mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada apa yang disifatkan sebagai tuntutan palsu dalam ‘penipuan Sulu’.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris itu sekali gus melengkapkan rangkaian kemenangan Malaysia dalam prosiding berkaitan sebelum ini.

Tuntutan terhadap Malaysia bermula apabila lapan individu warga Filipina mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu memfailkan proses timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar kononnya berkaitan isu Sabah.

Pada Mac 2019, mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai arbitrator, namun pelantikannya dibatalkan kemudian oleh mahkamah Sepanyol. Walaupun begitu, Stampa tetap meneruskan prosiding sebelum mengeluarkan final award AS$14.9 bilion yang kini dibatalkan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan Paris.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama