KOTA KINABALU: Anak Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, Naim Moktar menyifatkan pemergian ayahnya sebagai kehilangan besar kepada keluarga dan seluruh rakyat di Sabah.
Menurut Naim, allahyarham bukan sekadar insan yang membesarkan mereka, tetapi merupakan ‘nakhoda utama’ yang menjadi tempat berpaut dan sumber kekuatan keluarga.
“Hari ini, kami bukan saja kehilangan ayah yang kami cintai, tetapi kehilangan nakhoda utama kami.
“Bagi keluarga besar kami di Sabah, pemergian ini adalah kehilangan yang amat besar,”katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, petang tadi.
Naim, anak kedua dalam keluarga Allahyarham turut melahirkan rasa syukur kerana dipermudahkan pemergian ayahandanya.
“Kami bersyukur Allah SWT memanggil beliau pada malam Jumaat, dalam keadaan yang tenang, mudah dan tanpa menyusahkan sesiapa.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan hadir, bermula dari Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa, Yang kedua adalah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji serta barisan pemimpin negeri.
“Selaku wakil keluarga besar, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penggali kubur, pemandu van jenazah, sehinggalah wartawan yang hadir dari jauh.
“Saya memohon, panjangkan doa untuk Ayahanda saya, Mokhtar bin Radin dan kita doakan beliau agar terus dirahmati Allah SWT serta ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman,” katanya.
