Ujian sebenar kefahaman Putrajaya terhadap aspirasi Sabah, GRS harap keputusan 40 peratus hasil berpihak pada negeri - Joniston

 

Joniston ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Talantang - ihsan PBS

KIULU: Tindakan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil pendapatan Sabah akan menjadi ujian sebenar sejauh mana Putrajaya memahami aspirasi rakyat negeri ini.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, berkata rakyat berharap hubungan baik antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan pusat akan membawa kepada keputusan yang adil serta menguntungkan Sabah.

“Isu ini bukan semata-mata soal politik yang menuntut keberanian politik, tetapi soal menghormati, menunaikan dan memartabatkan hak-hak Sabah yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Kita berharap Putrajaya menunjukkan komitmen sebenar untuk menunaikan apa yang telah dijamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Talantang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu turut berkata sebarang keputusan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah itu tidak akan diterima baik oleh rakyat Sabah.

Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan mesti mengkaji semula pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai perjanjian baharu dalam tempoh 180 hari.

Keputusan itu menegaskan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari negeri ini adalah satu peruntukan yang tidak dilaksanakan sejak tahun 1974.

Susulan itu, Joniston berkata pelaksanaan keputusan mahkamah itu akan menjadi langkah penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya di kawasan luar bandar.

“Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama. Apa yang mereka mahu sekarang ialah tindakan tegas dan keberanian politik untuk menunaikan apa yang dipersetujui,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama