KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menegaskan sekali lagi dakwaan salah guna kuasa melibatkan pengurusan dana Tabung Zakat yang tular di laman media sosial, baru-baru ini merupakan dakwaan lama tidak berasas.
Yang di-Pertua MUIS, Datuk Yahya Hussin berkata sejak awal perkara terbabit tular, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif telah mengarahkan agar perkara tersebut disiasat secara menyeluruh.
Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga telah mengambil tindakan saman fitnah kepada pihak yang menyebarkan fitnah terbabit.
Memperincikan perkara terbabit, beliau berkata MUIS telah melaksanakan beberapa perkara bagi membuktikan ketelusan dan integriti dalam menguruskan dana zakat umat Islam negeri ini.
Antaranya ialah pihaknya telah memberikan kerjasama dan ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat keseluruhan akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat.
"Hasil siasatan tersebut, tidak ditemukan sebarang unsur salah laku atau jenayah terhadap mana-mana pegawai atau pihak dalaman MUIS.
"Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan audit menyeluruh terhadap akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat pada setiap tahun.
"Hasilnya, MUIS telah dianugerahkan Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut, yang membuktikan bahawa pengurusan kewangan MUIS adalah telus, berhemah dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Piawaian Perakaunan serta juga Enakmen-Enakmen berkaitan," katanya.
Selain itu, menurutnya dari sudut pengurusan kualiti, MUIS juga telah berjaya memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021 hasil audit pematuhan tahunan yang dijalankan oleh badan pensijilan bertauliah.
"Ini menunjukkan setiap proses kerja MUIS dilaksanakan secara sistematik, profesional dan mengikut piawaian yang ditetapkan.
"Selaras dengan komitmen untuk mencegah dan mengekang gejala rasuah, pihak pengurusan MUIS juga kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (Anti-Bribery Management System – ABMS) MS ISO 37001:2016.
"Langkah ini adalah manifestasi jelas kesungguhan MUIS memastikan tadbir urusnya kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Susulan itu, Yahya menasihatkan kepada orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah berunsur jahat yang sengaja dicipta dan disebarkan bagi menjatuhkan imej MUIS sebagai institusi Islam negeri ini.
"MUIS akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
"Pihak MUIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menjejaskan imej, nama baik dan maruah MUIS sebagai institusi Islam yang dihormati di negeri ini," katanya.
