Kemahiran jahitan B40 tingkatkan pendapatan keluarga

 

KENANGAN..Moira (tengah), Abd Rahim (kanan) dan Edmund (kiri) merakamkan foto kenangan bersama para peserta Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40.

KOTA MARUDU:  Seramai 20 wanita daripada golongan B40 di daerah Kudat dan Kota Marudu menerima manfaat melalui Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (KPPK), Moira David berkata program tersebut memberi pendedahan awal kepada peserta dalam aspek pengetahuan dan kemahiran kerja, sekali gus membolehkan mereka menjadi lebih berdikari dan berupaya menjalankan perniagaan sendiri.

"Program ini amat signifikan kerana ia seiring dengan agenda kerajaan negeri Sabah dalam memperkasa ekonomi rakyat khususnya, wanita daripada golongan B40 di kawasan luar bandar.  

"Sebagai kementerian yang memacu pembangunan industri dan keusahawanan, kami komited untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin ekonomi keluarga serta menjadikan kemahiran yang diperoleh melalui program ini sebagai sumber ekonomi yang mapan dan lestari," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum Berhad dan Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan program yang dilihat sebagai model kolaborasi terbaik antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh komuniti luar bandar.

"Usaha kolaboratif bersama badan korporat seperti Hibiscus Petroleum dan Sedcovest itu amat penting dan amat dihargai kerana pembangunan komuniti luar bandar memerlukan penyertaan semua pihak.  

"Pendekatan bersama ini bukan sahaja membantu memperkukuh ekonomi setempat tetapi, turut memberi peluang kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup dan berdikari," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40 Daerah Kudat dan Kota Marudu, dekat sini.

Moira berharap para peserta akan terus aktif mengembangkan perniagaan serta bijak memanfaatkan pelbagai platform media sosial untuk memasarkan produk masing-masing.

"Harapan saya, semoga para peserta sekalian akan terus aktif dan mengembangkan perniagaan kecil anda, mungkin boleh dicadangkan untuk bergabung dalam kumpulan agar dapat menerima tempahan yang lebih besar.  Jadikan diri anda sebagai role model kepada wanita-wanita lain di daerah Kudat dan Kota Marudu.

"Saya turut berharap kemahiran yang diperoleh dapat menjadi sumber rezeki yang berterusan. Gunakan ilmu yang dipelajari untuk menerima tempahan jahitan, di samping memperluaskan jualan melalui platform digital yang telah diterokai," tambah beliau.

Pada majlis itu, Moira diiringi Ketua Aset Operasi Sabah Hibiscus, Edmund Ang dan Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn. Bhd, Abd Rahim Md Zain menyampaikan sijil tamat latihan kemahiran jahitan kepada para peserta.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama