KOTA KINABALU : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) yang melibatkan beberapa kawasan di Sabah dan Wilayah Perseketuan Labuan, sehingga Rabu, 5 November ini.
Amaran ini dikeluarkan oleh MetMalaysia pada jam 12.30 tengah hari.
“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kawasan pedalaman iaitu Kuala Penyu dan Beaufort, serta di kawasan Pantai Barat, termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, selain WP Labuan,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, amaran hujan berterusan (waspada) turut dikeluarkan bagi kawasan Pedalaman (Sipitang) dan Kudat, yang dijangka mengalami hujan berterusan dalam tempoh masa yang sama.
“Orang ramai, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, dinasihatkan agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir kilat, tanah runtuh dan kenaikan paras air secara mendadak,” jelasnya.
