SEMPORNA: Ketika isu sampah di Semporna tular hingga menjejaskan imej pelancongan daerah itu, sekumpulan anak muda tampil menunjukkan teladan, bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan.
Mereka yang menggelarkan diri sebagai Skuad Anak Sabah, berjaya mengutip sebanyak 8.8 tan sampah dalam satu program pembersihan besar-besaran di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air.
Kejayaan itu, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kutipan sampah terberat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.
Program dinamakan ‘Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025’ itu disertai lebih 500 sukarelawan, termasuk penduduk setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti kebersihan pantai semata-mata, sebaliknya simbol kebersamaan masyarakat Sabah dalam memperjuangkan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kawasan Kampung Air merupakan penempatan majoriti masyarakat anak jati Sabah yang berdepan cabaran serius dalam pengurusan sisa.
“Melalui program ini, kami mahu membantu menangani isu berkenaan secara bersepadu sambil memupuk kesedaran awam mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengiktirafan MBOR di Padang Pekan Semporna, semalam.
Mazlan berkata, kejayaan itu menjadi penanda aras baharu kepada NGO di Sabah untuk terus memainkan peranan aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
“Rekod ini bukan kejayaan Skuad Anak Sabah semata-mata, tetapi milik seluruh rakyat Sabah yang sentiasa bersatu hati menjaga keindahan bumi kita,” katanya.
Majlis turut dihadiri wakil Malaysia Book of Records (MBOR), Edwin Yeoh Tiong Chin, yang menyerahkan sijil pengiktirafan rasmi kepada Skuad Anak Sabah sebagai rekod kutipan sampah terberat oleh NGO di Malaysia.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada beberapa organisasi termasuk Kumpulan Sawit Kinabalu, Grill Patio, K2 Water, Page Eight, HS Printing Solution dan Barber Addict, yang bersama menjayakan misi kebersihan pantai tersebut.
Skuad Anak Sabah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan sumber bagi memastikan kejayaan program berimpak tinggi itu yang secara tidak langsung mengharumkan nama negeri Sabah di peringkat kebangsaan.

