KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menyediakan sebanyak RM1.67 bilion pada tahun hadapan bagi memastikan kesemua projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi negeri Sabah, sebanyak empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap sepenuhnya.
Selain itu, projek membabitkan jalan yang menghubungkan negeri Sabah dan Sarawak juga dalam proses pelaksanaan.
"Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 dijangka siap November 2026 sementara SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.
"Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak. SST akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertempat di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu berkata kerajaan Persekutuan turut menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara dengan menambah baik prasarana asas.
"Antaranya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia sepanjangn 28 kilometer (KM)," katanya.