Pesta Cahaya semarak semangat perpaduan rakyat Sabah

Tun Musa bergambar bersama tetamu kehormat dan barisan pengurusan Kuil Sri Pasupathinath Alayam.

KOTA KINABALU: Sambutan Deepavali atau Pesta Cahaya memupuk semangat masyarakat majmuk di Sabah untuk terus hidup bersatu padu dalam suasana aman dan harmoni.  

Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datuk Dr K. Mathavan berkata, sambutan Deepavali tahun ini amat istimewa berikutan kesudian Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk turut hadir memeriahkan perayaan tersebut. 

“Deepavali melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan dan kebaikan mengatasi kejahatan, yang sinonim dengan semangat masyarakat majmuk yang diamalkan di negeri ini. 

“Pada hari ini, dapat dilihat kehadiran pelbagai kaum dan bangsa yang sama-sama meraikan Pesta Cahaya ini, membuktikan masyarakat di negeri ini saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada media semasa Sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam pada Isnin. 

Beliau berkata bantuan kerajaan negeri berjumlah RM750,000 kepada enam kuil di Sabah amat membantu pihak kuil menganjurkan program seperti sambutan Deepavali.

Mathavan turut menzahirkan rasa bangga terhadap keprihatinan kerajaan negeri kepada masyarakat Hindu yang merupakan golongan minoriti di Sabah.

Beliau turut memaklumkan masyarakat Hindu akan mengadakan satu upacara besar tahun depan iaitu Consecration Ceremony yang hanya disambut sekali dalam tempoh 12 tahun.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 800 orang termasuk orang awam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang turut memeriahkan perayaan Deepavali itu.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama