Akta Laut Wilayah 2012: Mana suara kamu ketika di tampuk kuasa, Armizan soal Shafie

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali membidas pihak pembangkang yang didakwanya hanya pandai bermain retorik mempertahankan hak negeri, tapi gagal bertindak ketika berpeluang berbuat demikian.

Menurutnya, selama ini pembangkang cuba menanam persepsi bahawa kerajaan GRS gagal menjaga hak Sabah termasuk khazanah alam, minyak dan gas, sedangkan tuduhan itu tidak berasas.

“Mereka dakwa kononnya pejuang hak Sabah, tapi bila diberi peluang dulu, senyap dan tidak buat apa-apa. Retorik semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan merujuk kepada kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang pada 22 Julai lalu lantang menyebut di Parlimen bahawa sebarang perubahan terhadap sempadan negeri mesti mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah seperti termaktub dalam Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan.

“Ya, memang betul apa yang beliau cakap itu, tapi persoalannya di mana suara beliau pada tahun 2012 ketika Akta Laut Wilayah dibentangkan di Parlimen? 

"Waktu itu beliau jadi Menteri Kabinet Persekutuan. Adakah beliau bersuara?” katanya.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Laut Wilayah yang diluluskan pada 2012 menghadkan hak maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika dari pantai. 

" Ia sekali gus mengubah sempadan asal negeri seperti termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

“Kalau benar pejuang hak negeri, kenapa tidak bangkitkan perkara ini dalam Parlimen atau Kabinet masa itu?” katanya. 

Armizan menegaskan, berbeza dengan pembangkang, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah menyatakan dengan jelas di DUN Sabah bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012.

“Sekarang siapa yang tegas dan siapa yang gagal? Cakap tak serupa bikin,” sindirnya.

Menurutnya, kerajaan GRS terbukti konsisten memperjuangkan hak Sabah termasuk dalam isu penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025.

“Disebabkan pendirian tegas kerajaan negeri Sabah bersama PH di Sabah dan GPS di Sarawak, kerajaan Persekutuan akhirnya bersetuju dan meluluskan bahawa Akta CCUS hanya terpakai di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, tidak di Sabah dan Sarawak,” katanya.

"Keputusan itu membuktikan perjuangan kerajaan GRS bukan sekadar laungan politik, tetapi hasil rundingan dan tindakan nyata mempertahankan hak negeri," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama