SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sabait, Batu 10, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal bersendirian menuju ke arah pusat bandar sebelum hilang kawalan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah berlawanan tidak sempat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
George turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kemalangan maut.