|  | 
| Ewon ketika beramah mesra dengan pelajar sekolah - ihsan KUSKOP | 
TAMPARULI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi tujuh agensi pembiayaannya telah menyalurkan sebanyak RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara setakat September tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata, tujuh agensi KUSKOP itu ialah SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), PERNAS, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Daripada RM7.96 bilion pembiayaan itu, sebanyak RM770.1 juta disalurkan kepada 40,797 usahawan dan koperasi di Sabah dan SME Bank sahaja telah meluluskan sebanyak RM314.3 juta kepada 52 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
“Saya berharap pembiayaan ini dapat terus ditingkatkan agar lebih ramai usahawan dan koperasi mendapat manfaat daripada agensi-agensi pembiayaan di bawah KUSKOP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank di sini, hari ini.
Ewon berkata, dalam belanjawan 2026 kerajaan melalui KUSKOP akan memfokus kepada penskalaan usahawan PMKS.
Oleh itu katanya, peranan semua agensi pembiayaan terbabit sangat penting untuk merealisasikan agenda tersebut.
Mengenai program itu, Ewon berkata, SME Bank telah peruntukan RM20,000 bagi membantu 100 pelajar dari kalangan keluarga B40 daripada lima sekolah di daerah Tuaran untuk mendapatkan cermin mata baharu.
Beliau turut menghargai inisiatif SME Bank yang tampil membantu masyarakat melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.
“Saya hargai inisiatif SME Babk menyediakan dana untuk program CSR ini dan mudah-mudahan lebih banyak lagi sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan turun ke lapangan untuk membantu masyarakat kita yang memerlukan melalui program CSR masing-masing,” katanya.
