Hasil bumi Sabah bukan ‘Piggy Bank’ kamu, Albert Tei diberitahu

 

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menempelak tindakan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, yang didakwa cuba menjadikan hasil bumi Sabah sebagai ‘tabung peribadi’ atau piggy bank demi kepentingan sendiri.

Nizam berkata, tindakan Tei menyalurkan sumbangan politik kepada beberapa pihak tertentu jelas bertujuan untuk menguasai sumber hasil bumi negeri ini serta menggugat kestabilan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Jadi, ada kah patut seorang yang berasal dari luar negeri Sabah menganggap bahawa hasil bumi ini adalah piggy bank dia? 

"Hasil bumi Sabah adalah untuk kepentingan rakyat dan negeri Sabah, bukan untuk kepentingan peribadi mana-mana individu,” katanya. 

Beliau berkata demikian susulan laporan Malaysiakini baru-baru ini yang mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp didakwa antara Tei dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang kononnya menerima RM1.78 juta daripada ahli perniagaan berkenaan.

Dalam perbualan itu, Tei dilapor merayu kepada Kitingan, ketika itu Timbalan Ketua Menteri Sabah, agar menyampaikan pesanan kepada Ketua Menteri supaya tidak mengganggu operasi perlombongan pasir silika miliknya kerana projek tersebut dikatakan merupakan 'piggy bank' mereka.

Selain itu, satu rakaman video yang tular pada 18 Oktober lalu menunjukkan Tei mengaku memberi sumbangan sebanyak RM550,000 kepada pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, yang kemudian mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ia adalah sumbangan politik.

Dalam video lain, Tei turut mendakwa pernah berjanji memberi sumbangan kepada Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.

Nizam menegaskan, Tei bukanlah pemberi maklumat atau whistleblower seperti yang cuba digambarkan, sebaliknya merupakan dalang utama dalam skandal perlombongan di Sabah.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri tidak mengiktiraf Albert ini sebagai whistleblower. 

"Jika seseorang itu terlibat memberi rasuah, dia tidak dilindungi oleh undang-undang. Jadi, dia bukan wira, tetapi sebenarnya dalang yang merosakkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, Tei didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas ADUN, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Dr. Yusof Yaacob, bagi mempengaruhi permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah.

Nizam berkata, rakyat Sabah perlu membuka mata dan menilai sendiri niat sebenar individu seperti Tei yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada kekayaan negeri ini tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat tempatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama