PONTIAN: UMNO yakin tidak berdepan kesukaran menampilkan calon terbaik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.
Memetik sumber Sinar Harian, Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti itu mempunyai ramai tokoh berkelayakan serta diterima masyarakat tempatan untuk diketengahkan.
“Kita tidak kekurangan calon dan paling penting, jentera pilihan raya perlu bersatu menerima siapa sahaja yang ditampilkan.
“Calon mestilah memenuhi ciri-ciri ‘wali’, iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable), disukai (likeable), anak tempatan serta mendapat kepercayaan rakyat. Saya yakin UMNO akan menjadi magnet dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan tayangan skrin perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi, semalam.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, senarai calon akan ditentukan pucuk pimpinan parti berdasarkan cadangan daripada 26 Ketua UMNO Bahagian di Sabah.
Katanya, sudah tentu calon yang dipilih adalah anak tempatan yang diyakini mampu memenangi kerusi.
“Belum ada keputusan muktamad mengenai kerusi yang akan ditandingi kerana DUN Sabah belum dibubarkan.
"Namun, jentera parti sudah boleh merangka gerak kerja bagi memastikan persiapan berjalan lancar menjelang penamaan calon,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan dalam masa terdekat sebelum tamat tempoh penggal pada November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengumuman rasmi pembubaran akan dibuat tidak lama lagi.