![]() |
Datuk James Ratib (kanan) bersama Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun (kiri) sewaktu temubual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu hari ini |
KOTA KINABALU: Sabah kini hanya mempunyai seekor anjing pengesan dadah (K9) daripada lapan ekor dalam unit berkenaan bagi membantu usaha memerangi penyeludupan dadah di pintu masuk utama negeri itu.
Majlis penyerahan anjing pengesan dadah (K9) itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu hari ini, dengan kehadiran Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kebajikan, Datuk James Ratib, serta Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh.
James berkata, seekor K9 baharu yang sedang dilatih di Bukit Taman, Kuala Lumpur, dijangka tiba di Sabah dalam tempoh empat bulan.
Menurutnya, pengasuh anjing pengesan berkenaan telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk latihan sebelum haiwan itu ditempatkan di pintu masuk sempadan Sabah.
"Perbelanjaan untuk melatih seekor anjing pengesan dianggarkan sekitar RM80,000, manakala kos penjagaan keseluruhan adalah lebih tinggi daripada itu.
“Kita mungkin memerlukan lebih banyak anjing pengesan bagi memenuhi keperluan di pintu-pintu masuk," katanya.
James berkata, penempatan K9 akan memfokuskan lapangan terbang utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan bagi mengawal penyeludupan dadah melalui perkhidmatan kargo.
![]() |
Jauteh (kanan) sewaktu menyerahkan cenderakenangan kepada James (kiri) di majlis penyerahan anjing pengesan dadah (K9) yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) |
“Kita juga mengharapkan kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan untuk membeli lebih banyak anjing K9," ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini Sabah hanya mempunyai seekor K9 aktif yang ditempatkan di IPK dan ia sudah berumur 13 tahun serta hampir bersara.
Katanya, jumlah sedia ada tidak mencukupi memandangkan keperluan sebenar adalah lima hingga enam ekor anjing pengesan.
“Perkara ini akan saya bawa ke mesyuarat kabinet akan datang supaya lebih banyak bantuan dapat diberikan dan usaha memerangi dadah dapat diperkukuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh, berkata unit K9 yang ada ketika ini tidak mampu meliputi semua kawasan pintu masuk kerana jarak yang luas.
“Jika hanya satu ekor digunakan untuk seluruh Sabah, ia memang tidak efisien. Kami memerlukan sekurang-kurangnya lima ekor supaya setiap lapangan terbang dan pelabuhan utama boleh dilengkapi K9 pengesan.
“Anjing yang kita ada sekarang bernama Douyun berusia 13 tahun, sudah terlalu tua dan tahap sensitiviti hidungnya juga semakin berkurang. Ini menyukarkan tugasan pengesanan dadah,” katanya.