PAPAR: Penempatan sementara akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh semalam melibatkan dua kampung di iaitu Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul, di sini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengenai perkara tersebut bagi membantu keluarga mangsa yang terlibat.
Menurutnya, ia merupakan bantuan selain daripada bantuan yang diumumkan semalam oleh Ketua Menteri iaitu Bantuan Wang Ihsan (Kematian) RM10,000.
"Buat sementara ini, kita akan menyediakan penempatan sementara untuk keluarga yang terjejas dengan (kejadian) tanah runtuh ini.
"Kita sedang berhubung sekarang ini (dengan pihak berkaitan) dan (untuk sementara waktu), kita tempatkan kedua-dua keluarga di balai raya (Pusat Penempatan Sementara) di Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul.
"Kita akan berbincang dengan mereka (keluarga mangsa) untuk pindahkan mereka sementara sama ada di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) ataupun rumah sewa sementara penilaian risiko dibuat kawasan rumah mereka yang berdekatan dengan cerun bukit
" Begitu juga sementara pembaikan dibuat di rumah mereka. Jadi kita akan bantu meringankan beban yang dihadapi oleh kedua-dua keluarga terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Lok Kawi Height, di sini, hari ini.
Turut hadir, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut menambah penilaian risiko di lokasi kejadian juga akan dilakukan.
Disamping itu, beliau juga turut meminta agar penduduk berdekatan di lokasi berpotensi mengalami tanah runtuh untuk berpindah sementara ke tempat lain.
Semalam, media melaporkan seramai dua mangsa maut maut tertimbus tanah runtuh di Kampung Mook manakala tiga mangsa maut di Kampung Marahang Tuntul akibat insiden sama.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai jambatan aras rendah atau low level crossing (LLC) di Sungai Kaiduan, di sini yang telah runtuh akibat hujan lebat berterusan pada 13 September lepas.
Katanya, pihaknya telah mendapat laporan berkenaan cabaran ekstrim yang dihadapi pasukan teknikal di lapangan berdekatan LLC sejak 8 September lagi.
"Contohnya, kita telah menghantar pasukan (teknikal) kerana sebahagian besar iaitu 11 daripada 17 pembetung (culvert) yang ada sudah ditutupi bukan sahaja disebabkan arus deras sehingga melebihi LLC tersebut.
"Malah arus itu juga membawa sisa-sisa seperti batu dan kayu daripada ulu sungai sehingga tertutupnya pembetung yang ada. Pada 8 September lalu kita telah membuat pembersihan.
"Namun pada 13 September apabila berlakunya hujan lebat dan arus yang cukup deras telah menyebabkan LLC itu runtuh. Penduduk di sana masih mempunyai alternatif namun bukan jalan raya. Ada jambatan gantung mereka boleh lalui.
"Walau bagaimanapun, kita memberi komitmen bahawa kerajaan dengan kerjasama agensi Persekutuan dan juga kerajaan negeri akan mencari penyelesaian kepada masalah penduduk sana," katanya.
