![]() |
Shahelmey (tengah) berharap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan mencapai objektif ditetapkan. |
PUTATAN: Kontraktor dan juru perunding bagi projek Pejabat Majlis Daerah Putatan diarah memastikan projek siap mengikut jadual serta kos kontrak yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, projek yang menelan kos RM4.9 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun sekali gus menjadi satu lagi perkembangan positif bagi daerah Putatan.
“Bangunan Majlis Daerah Putatan ini telah lama dinantikan masyarakat. Apabila siap kelak, ia bukan sahaja memberi suasana kerja yang lebih selesa dan kondusif kepada kakitangan majlis, malah turut memudahkan orang ramai yang datang mendapatkan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Pejabat Baharu Majlis Daerah Putatan, pada Selasa.
Shahelmey menegaskan, pembinaan pejabat baharu itu merupakan pelaburan penting dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan menyediakan prasarana lebih moden, mesra rakyat dan efisien.
“Putatan yang terletak strategik berhampiran Kota Kinabalu kini pesat membangun dalam pelbagai sektor. Dari segi demografi, ekonomi serta infrastruktur, jelas berlaku transformasi daripada sebuah daerah kecil kepada pusat pembangunan yang semakin penting di Sabah.
“Pertambahan penduduk serta pembangunan perumahan dan kemudahan asas menuntut agar infrastruktur kerajaan tempatan turut dipertingkatkan. Pejabat sedia ada sudah tidak mampu menampung operasi yang semakin kompleks,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan setiap daerah diberikan perhatian sewajarnya dan projek itu menjadi manifestasi usaha menambah baik infrastruktur asas serta memperkasa tadbir urus tempatan.
“Saya yakin apabila pejabat baharu ini siap kelak, ia akan menjadi simbol kemajuan dan aspirasi daerah Putatan menuju masa depan lebih gemilang. Justeru, saya berharap projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan mencapai objektif ditetapkan.
“Kerjasama erat antara kerajaan, kontraktor dan masyarakat amat penting untuk memastikan kejayaan projek ini,” tambahnya.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)