KK Hop-On Hop-Off dilancar, lonjak imej pelancongan Bandar Raya KK

 

Joniston (kanan) dan Kok Liang (kiri) ketika ditemui media.

KOTA KINABALU: Sebagai usaha baharu melonjakkan imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,  perkhidmatan bas KK Hop-On Hop-Off City Tour dilancarkan .

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata perkhidmatan itu memberi peluang kepada pengunjung termasuk penduduk tempatan untuk meneroka bandar raya dengan lebih mudah, fleksibel dan selesa.

“Perkhidmatan ini membolehkan orang ramai menikmati keunikan Kota Kinabalu mengikut masa mereka sendiri. Dengan pelancarannya, Kota Kinabalu kini seiring dengan bandar-bandar besar lain seperti London, Paris dan Kuala Lumpur yang menawarkan kemudahan hop-on hop-off,” katanya ketika merasmikan majlis itu di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, laluan bas berkenaan menghubungkan pasar, mercu tanda bersejarah, kawasan tepi laut serta lokasi makanan dan membeli-belah utama.

“Ia menyokong mobiliti bandar lestari, mempromosikan pelancongan inklusif serta merancakkan ekonomi tempatan. Masa pelaksanaannya tepat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Sementara itu, Pengerusi Hopon Hopoff Sdn Bhd, Datuk Tan Kok Liang berkata, perkhidmatan itu menghubungkan 17 mercu tanda ikonik termasuk Pantai Tanjung Aru, Menara Jam Atkinson, Suria Sabah Mall dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

“Dua unit bas dwitingkat setinggi 4.2 meter dengan 60 tempat duduk disediakan, beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dengan kekerapan perjalanan kira-kira sejam sekali.

“Tiket berharga RM30 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak) bagi warganegara, manakala pelancong antarabangsa RM45 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak). Ulasan perjalanan turut disediakan dalam enam bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Korea dan Jepun.

“Pembelian tiket boleh dibuat di setiap 17 hentian dengan mengimbas kod QR, tunai atau bayaran secara dalam talian,” tambahnya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Phoong Jin Zhe; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama