![]() |
KOTA KINABALU: Sabah menegaskan kerjasama rapat dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bukan bertujuan meruntuhkan syarikat minyak dan gas negara itu, sebaliknya melahirkan syarikat milik negeri yang mampu menjadi ‘angsa baharu bertelur emas’.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata usaha itu dimulakan hasil perjumpaan kerajaan negeri bersama kepimpinan Petronas pada 28 Ogos 2021 yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Sebagaimana dinyatakan Ketua Menteri dua hari lalu ketika Majlis Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah ke-28, perjumpaan itu merintis lonjakan dalam pemilikan dan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
“Saya dan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun turut menyertai delegasi Ketua Menteri ketika itu, dan buat pertama kali aspirasi serta tuntutan Sabah berkaitan industri minyak dan gas diserahkan secara bertulis kepada Petronas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil pertemuan itu menjadi asas kepada termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Sabah dan Petronas pada 7 Disember 2021.
“Melalui CCA, Sabah kini mempunyai peranan lebih besar dari segi suara, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri minyak dan gas.
“Ia menjadi asas kepada pemilikan serta penyertaan negeri secara lebih bermakna,” katanya.
Menurutnya, kerjasama strategik berkenaan membolehkan Sabah meningkatkan pegangan ekuiti dalam pelbagai eksplorasi minyak dan gas, selain membuka peluang penyertaan kepada lebih 1,000 syarikat kontraktor tempatan.
Katanya, SMJ Energy Sdn Bhd sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri diamanahkan menyelaras strategi penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri minyak dan gas.
“Kita menolak dakwaan kononnya tuntutan Sabah boleh meruntuhkan Petronas yang dianggap angsa bertelur emas.
“Hasrat kita jelas, selepas lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan angsa baharu bertelur emas iaitu SMJ Energy,” katanya.
