PETALING JAYA: Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menandatangani semua watikah calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata setakat ini kira-kira 90 peratus senarai calon telah dikenal pasti dan proses pemuktamadan dijangka selesai minggu ini.
“Zahid akan tandatangan sebab kita ada satu sahaja presiden. Autonomi yang diberikan kepada BN Sabah hanya melibatkan strategi dan urusan dalaman termasuk rundingan kerjasama dengan parti lain,” katanya ketika ditemui media.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah menjelaskan walaupun negeri diberi kuasa memilih calon, pengesahan rasmi hanya boleh dilakukan oleh presiden BN.
Sebelum ini, isu watikah pernah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, susulan pengumuman pertukaran calon di kerusi berkenaan oleh Bung Moktar.
Mengulas pembahagian kerusi, Bung Moktar berkata BN dijangka bertanding di 38 daripada 73 kerusi DUN dengan mengambil kira kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH).
“BN tidak akan terlibat dengan kerjasama GRS–PH. Kita akan bertanding melawan semua parti kecuali PH. Kerjasama dengan GRS hanya akan dipertimbang selepas PRN,” katanya
Menurutnya, formula ‘kerajaan perpaduan’ seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sukar direalisasikan di Sabah kerana kebanyakan parti akan bertembung di kerusi sama.
Bung Moktar yang dijangka mempertahankan kerusi DUN Lamag turut memberi bayangan kemungkinan ada pemimpin kanan UMNO Sabah yang tidak bertanding kali ini.
Terdahulu, sebanyak 23 parti politik berdaftar di Sabah dijangka mewarnai PRN-17, dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar secara automatik pada 11 November ini.
.jpeg)