![]() |
| Hajiji menyampaikan ucapan perasmian. |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal akidah, pembangunan dan kesejahteraan ummah selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut mengutamakan pembangunan modal insan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan syiar Islam, sebagaimana yang giat dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dan beberapa NGO seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
“Agensi seperti MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan peluang biasiswa kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang tempohnya hampir tamat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana besar untuk menaik taraf infrastruktur masjid dan surau di seluruh Sabah serta pelbagai latihan dan pembangunan modal insan untuk para du’at.
“Ini termasuklah transformasi dakwah digital seiring dengan Revolusi Industri Keempat, penempatan pendakwah bersepadu di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, serta program khas belia MADANI bagi melahirkan pendakwah muda yang berwibawa,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.
Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang, kita akan terus memperjuangkan agenda memperkasakan dakwah dan memajukan pembangunan Islam selaras dengan kehendak serta keperluan semasa
Dalam hal ini, Hajiji berkata kerajaan negeri berbesar hati menyampaikan watikah pelantikan imam-imam daerah di seluruh Sabah yang dipilih daripada kalangan imam-imam kariah.
“Sebagai insentif tambahan kepada golongan agamawan ini, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri, melalui MUIS, akan menambah elaun Imam-Imam Daerah sebanyak RM1,000 sebulan. Seramai 33 Imam Daerah akan mendapat manfaat daripada penambahan elaun ini,” ujarnya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan Guru KAFA dan Imam Rawatib, masing-masing sebanyak RM200. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri akan membelanjakan hampir RM15 juta setahun untuk manfaat 2,480 Guru KAFA dan 1,643 Imam Rawatib di Sabah.
Selain itu, tambah Hajiji, seramai 394 Guru Takmir akan menerima elaun khas sekali bayar sebanyak RM500 setiap seorang.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
