![]() |
| Nizam(kiri) dan Shafie (kanan). |
KOTA KINABALU: Dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bahawa pentadbiran beliau berjaya melunaskan hutang kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion pada 2019 disifatkan sebagai cubaan mengambil kredit atas usaha orang lain.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pembayaran itu adalah hasil strategi kewangan yang dirancang dan dilaksanakan sejak 2014, iaitu empat tahun sebelum WARISAN berkuasa.
Beliau berkata, Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) diterbitkan pada Disember 2014 dengan syarat Bank Negara Malaysia supaya Tabung Amanah Khas diwujudkan bagi memastikan pembayaran penuh dapat dibuat sebaik bon matang.
“Kerajaan negeri ketika itu mencarum RM200 juta setahun selama lima tahun sehingga terkumpul RM1 bilion pada 2019.
“Dana ini sudah tersedia lebih awal, hanya dilaksanakan pada tahun tersebut tanpa menjejaskan kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, langkah mewujudkan Tabung Amanah Khas adalah strategi bijak mengelakkan beban kewangan besar secara mengejut.
“Fakta jelas menunjukkan WARISAN sekadar melaksanakan bayaran akhir menggunakan dana yang sudah dikumpul.
“Tidak wajar mereka menuntutnya sebagai kejayaan sendiri,” katanya.
Menurut Nizam, rakyat berhak mengetahui kebenaran bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan naratif politik yang mengelirukan.
“Rakyat Sabah perlu tahu siapa yang merancang, siapa yang bekerja, dan siapa yang hanya menuntut nama,” katanya.
