KPDN gerakkan kempen Jalur Gemilang di 4,320 stesen minyak PETRONAS seluruh negara

 

Naim (kiri) menyerahkan Kit Jalur Gemilang kepada Armizan.

PAPAR:  Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan kempen Jalur Gemilang di 4,320 stesen minyak PETRONAS di seluruh negara.

Menurut Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali, kempen dengan kerjasama strategik dalam kalangan pemain industri itu merupakan sebahagian daripada inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1 RIJG) yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

"Kempen ini akan melibatkan kesemua premis peruncitan stesen-stesen minyak, bukan hanya PETRONAS tetapi semua premis peruncitan yang dikawal selia pelesenannya di bawah KPDN yang berjumlah 4,320 di seluruh negara.

"Kempen yang kita gerakkan ini juga merupakan salah satu daripada pengisian dalam kerangka besar inisiatif yang digerakkan, diselaraskan oleh JAPEN iaitu inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang yang telahpun digerakkan bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan 2025 melibatkan tujuh kluster. 

"Selain daripada kluster industri, kluster pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, komuniti dan agensi kerajaan. 

"Jadi KPDN mengambil peranan untuk membantu menggerakkan program agenda nasional ini yang diselaraskan oleh Jabatan Perangan Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi," katanya. 

Pada masa yang sama, Armizan turut melancarkan Kempen Love Local yang dilaksanakan oleh PETRONAS untuk menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bermula esok (25 Ogos) hingga 30 September ini. 

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen PETRONAS untuk membantu, mendukung dan menjayakan kempen yang digerakkan, diselaraskan oleh KPDN iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

"Matlamatnya adalah untuk kita menyokong dan mendukung agenda tempatan, memperkasakan usahawan-usahawan khususnya kalangan PMKS dan sekali gus merupakan satu kempen untuk kita memastikan bahawa produk-produk tempatan kita diberikan keutamaan," jelas beliau.

Menurut Armizan, sepanjang kempen berlangsung, produk-produk keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan akan dipaparkan di ruangan rak khas Kedai Mesra PETRONAS yang ditandakan dengan logo KBBM sebagai strategi promosi sekali gus meningkatkan akses kepada para pelanggan.

Malah katanya, KPDN amat menghargai komitmen tinggi PETRONAS dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia yang bersandarkan semangat patriotisme dan membantu para usahawan tempatan khususnya PMKS.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kit Jalur Gemilang sempena Inisiatif  1Rumah 1Jalur Gemilang (Kluster Industri) dan Pelancaran Kempen Love Local di Stesen Minyak Papar, pada Ahad.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDN Datuk Mohd Sayuthi Bakar,  Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa Datuk Azman Adam, Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN Naim Fahmi Ahmad Tajuddin, Ketua Pengarah  Ketua Bahagian Runcit Bahan Api PETRONAS Dagang Berhad Norazlan Subaha dan Rakan Niaga Stesen PETRONAS Papar Yongle @ Samblih Nip Chong.

Mengulas lanjut ujar Armizan, KPDN amat menghargai komitmen tínggi PETRONAS dalam mendukung agenda memajukan PMKS melalui penjualan produk keluaran tempatan di lebih 850 premis rangkaian Kedai Mesra seluruh negara termasuk 50 Kedai Mesra di Sabah. 

Setakat ini kata beliau, Kedai Mesra mempunyai 1,842 pembekal produk tempatan manakala, hasil jualan produk PMKS di rangkaian Kedai Mesra mencatatkan momentum peningkatan dari tahun ke tahun melebihi RM150 juta.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama