![]() |
| Jahid menandatangani helaian terakhir buku lawatan Konvoi KMJG Sabah 2025 mewakili Ketua Menteri Sabah. |
TUARAN: Karnival KITA MADANI 2025 Peringkat Negeri Sabah melabuhkan tirainya pada Sabtu di Padang Istiadat Tuaran selepas tiga hari penganjuran yang meriah dan penuh pengisian, membuktikan komitmen kerajaan dalam merakyatkan perkhidmatan serta menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran dan agensi-agensi kerajaan selain penglibatan pihak swasta ini telah berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang dalam satu platform integrasi yang menekankan elemen perpaduan, kemakmuran serta kecekapan penyampaian maklumat kerajaan.
Ia diadakan bertujuan menyampaikan mesej kenegaraan, memperkenalkan perkhidmatan berteraskan Malaysia MADANI, dan menjalin komunikasi strategik antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Perasmian penutupan karnival disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Karnival ini bukan sekadar medan hiburan atau pameran semata-mata. Ia adalah satu saluran komunikasi strategik antara kerajaan dan rakyat yang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, keadilan dan ihsan," katanya dalam ucapan perasmian penutupan.
Hajiji menyifatkan pemilihan Tuaran sebagai tuan rumah karnival sebagai satu penghargaan kepada daerah yang kaya dengan warisan budaya, semangat komuniti serta potensi ekonomi yang perlu diketengahkan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada masyarakat Tuaran atas sambutan luar biasa sepanjang penganjuran program, dan memuji usaha Komuniti MADANI yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan karnival.
Program ini turut menyampaikan mesej Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”. Tema ini mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat seiring nilai perpaduan dan kemajuan yang holistik.
Karnival ini menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, wanita, pelajar, penjawat awam dan peniaga kecil yang diberi peluang mempamerkan produk serta bakat masing-masing melalui reruai, pameran dan aktiviti interaktif.
"Kemerdekaan bukan hanya untuk dikenang, tetapi untuk dipertahankan melalui tindakan. Karnival ini membuktikan bahawa rakyat Sabah terus menjiwai semangat negara secara aktif dan inklusif," tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar semangat patriotik terus disemai sepanjang tahun, bukan hanya semasa sambutan Hari Kebangsaan sahaja. Beliau menekankan pentingnya mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah yang lengkap, bersih dan tidak lusuh sebagai simbol maruah negara.
Karnival KITA MADANI 2025 bukan sahaja memberi manfaat dari sudut penyampaian maklumat dan hiburan berinformasi, malah turut merangsang aktiviti ekonomi setempat. Penekanan terhadap penglibatan Komuniti MADANI sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat telah mengukuhkan jentera komunikasi berkesan di peringkat akar umbi.
Sebanyak 219 Komuniti MADANI telah ditubuhkan di Sabah, termasuk 12 di daerah Tuaran merentasi empat Dewan Undangan Negeri (DUN). Peranan mereka diiktiraf sebagai pemangkin keterlibatan rakyat dalam inisiatif kerajaan.
"Kemajuan negeri ini bukan diukur melalui projek semata-mata, tetapi melalui kekuatan rakyatnya yang bersatu, berilmu dan berdaya saing," ujarnya.
Penutupan karnival turut menjadi lokasi terakhir bagi Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah 2025, yang berjaya menamatkan kembara sejauh 2,500 kilometer melibatkan 75 hentian di seluruh negeri Sabah sejak ia bermula pada 5 Ogos lalu.
Konvoi yang diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor disertai oleh lebih 20 agensi kerajaan dan swasta, membawa mesej cinta negara, semangat patriotisme dan mengajak rakyat menyahut kempen "1 Rumah, 1 Jalur Gemilang".
"Ketibaan konvoi ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi semangat kemerdekaan yang menyatukan rakyat Sabah dari pedalaman hingga ke bandar," kata beliau menutup ucapan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
