Hasil negeri meningkat RM7 billion bukti kejayaan kerajaan negeri - Hajiji

 

Hajiji (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah.

KOTA BELUD: Peningkatan hasil negeri dari RM4 bilion kepada RM7 bilion bukti kerajaan semasa berjaya mengurus negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata peningkatan tersebut membuktikan kejayaan kerajaan negeri menguruskan Sabah sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan hari ini gagal.

"Jika benar Kerajaan hari ini gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat, dan kita juga tidak akan mampu meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini. 

"Sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Negeri telah memulakan kira-kira 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan sekitar 94 peratus daripadanya telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri," katanya semasa berucap dalam Program Ramah Mesra Komuniti SMJ bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas pada ahad.

Tambahnya lagi, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan dalam pelbagai bentuk dan telah memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

"Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM1.49 bilion yang memberi manfaat kepada 336,076 penerima bantuan kebajikan dari tahun 2021 hingga 2024, termasuk Skim Bantuan Am (SBAM), Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) dan lain-lain. 

"Jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan RM385.5 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar. 

“Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan,” ujar beliau.

Selain itu, Hajiji turut berkata Kerajaan Negeri telah membelanjakan kira-kira RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan khususnya dalam bidang pendidikan. 

“Kita telah meningkatkan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding hanya RM50 juta, dan ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. ” katanya. 

Beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri juga telah menekankan aspek Ekonomi Biru untuk menjana kekayaan baharu dan meningkatkan pendapatan negeri.

Dalam majlis itu juga Hajiji menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 yang lain. 

Ketua Menteri turut menyampaikan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ, serta sumbangan kepada 66 buah sekolah di daerah ini melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Datuk Fairuz Renddan, Pengerusi Sabah Softwood Sdn Bhd Datuk Mohd Arsad Bistari, Pengerusi Innoprise Synergy Sdn Bhd  Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pengerusi Sabah Cement Sdn Bhd Datuk Japlin Akim.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama