Gambar lama itu tiada kaitan dengan kes Zara - Shahlan


KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, Shahlan Jufri, kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengaitkan gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dengan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Katanya, gambar berkenaan adalah rakaman lama pada Jun lalu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes Zara.

“Cubaan mengaitkan gambar tersebut adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.

"Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Allahyarhamah Zara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahlan turut menegaskan, beberapa langkah penting sudah dilaksanakan selepas pelantikannya sebagai peguam keluarga, termasuk penggalian semula kubur, pelaksanaan bedah siasat, dan permohonan inkues yang kini sedang berlangsung.

“Sepanjang proses itu, saya sendiri berada di bilik bedah siasat selama lebih kurang lapan jam atas kehendak anak guam.

"Saya juga memohon agar pelaku dikenakan hukuman lebih berat iaitu maksimum 10 tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, selaku peguam, tanggungjawabnya adalah menegakkan proses undang-undang secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan perjuangan ini yang telah bermula sejak hari pertama saya dilantik sebagai peguam Zara,” katanya.

Terdahulu, gambar Shahlan bersama barisan peguam dipercayai berkaitan dengan kes pendakwaan lain tular di media sosial dan dikaitkan dengan kes Zara Qairina.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama