TAWAU: Seorang lelaki tidak sempat ‘menjual hasil’ selepas diberkas polis kurang 24 jam dipercayai mencuri sebuah komputer riba dalam satu operasi bersepadu cegah jenayah (OBMJ) di kawasan tempat letak kereta Jalan SK Gabungan, di sini, petang semalam.
Suspek tempatan berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.20 petang oleh anggota dari Balai Polis Tawau dalam Ops Bersepadu Mencegah Jenayah/Op Kesan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika ditahan, lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah beg kertas.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg kertas itu menemui sebuah beg komputer riba yang mengandungi sebuah komputer riba berjenama dipercayai dilaporkan hilang sebelum ini.
“Suspek juga bertindak agresif dan enggan beri kerjasama menyebabkan anggota terpaksa guna kekerasan minimum bagi menahannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kesalahan berkaitan dadah.
“Tindakan pantas anggota yang berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh singkat ini menunjukkan komitmen polis dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

