Hajiji dedah pemimpin tidak suka ‘Blok Borneo’ punca ambil keputusan sokong Kerajaan Perpaduan


KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mendedahkan bahawa kenyataan sinis seorang pemimpin terhadap ‘Blok Borneo’ menjadi titik tolak kepada keputusannya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ungkapan itu dilontarkan sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan dan mencerminkan sikap prejudis terhadap Sabah dan Sarawak yang tidak boleh diterima.

“Dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita negeri kita dan dan negeri jiran kita, Sarawak.

"Saya terkejut dengan kata-katanya… Lama saya berfikir apa maksud dan niat beliau menyatakan seperti itu.

"Fikir punya fikir tawar terus hati saya kepada mereka, akhirnya setelah berfikir panjang maka saya membuat keputusan membawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, di sini hari ini.

Hajiji berkata, kenyataan itu tidak datang daripada mana-mana pemimpin dalam kerajaan Perpaduan, sebaliknya individu yang ketika itu berada di luar pentadbiran pusat.

Beliau menegaskan, kerajaan Sabah yang diterajuinya kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Perpaduan yang dianggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), hasil kesepakatan politik demi kestabilan dan kemajuan negeri.

Menurutnya, kerajaan Sabah memilih untuk bersama kerajaan Perpaduan kerana melihat kesungguhan Perdana Menteri dalam memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak.

“Pelbagai tuntutan yang diperjuangkan kerajaan negeri mula diberi perhatian semasa pentadbiran kerajaan Perpaduan, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu hasil negeri.

“Kita tidak boleh nafikan Perdana Menteri sekarang banyak beri perhatian terhadap perkara-perkara yang kita tuntut sejak sekian lama,” katanya

Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan penyertaannya dalam rombongan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta bagi membincangkan kerjasama pembangunan bersama kerajaan Indonesia, khususnya di Laut Sulawesi atau Ambalat.

“Saya akan turut serta dalam rombongan Perdana Menteri ke Jakarta… antara yang akan dibincangkan ialah pembangunan bersama dengan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama