Pengisahan Kenegaraan X Kelab Malaysiaku platform semai patriotisme

 

Supian semasa ditemui media.

KOTA KINABALU:  Pertandingan Pengisahan Kenegaraan X Kelab Malaysiaku 2025 merupakan platform menyemai semangat patriotik dan nilai murni generasi muda, khususnya pelajar.

Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah, Supian Musa berkata program tahunan itu juga berperanan untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.

“Pertandingan itu adalah kerjasama antara JAPEN bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.  

"Ia juga sebagai usaha JAPEN Sabah menggelorakan sabutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

"Matlamat utama adalah menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar agar mereka lebih menghargai sejarah negara dan pengorbanan tokoh tokoh kemerdekaan.

“Kita ingin melahirkan generasi muda yang faham, menghayati dan bangga dengan perjuangan nenek moyang kita, bukan sekadar tahu nama dalam buku teks sahaja.  

“Pertandingan ini menggalakkan pelajar menggunakan bakat bercerita dan berlakon dalam menyampaikan mesej dan menjadikan sejarah itu hidup serta menyeronokkan untuk didengar.

“Dalam masa yang sama, ia membantu menyampaikan mesej dasar kerajaan dan semangat kenegaraan kepada masyarakat dengan cara yang lebih kreatif dan menyentuh hati,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual bersama Sabahfm dalam segmen Temu Bual Kita Cerita dan SabahVfm dalam segmen Siaran Bajau Pantai Barat, pada Khamis.

Menurut beliau, enam pasukan telah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir peringkat negeri pertandingan tersebut yang akan disiarkan secara rakaman video di Facebook rasmi JAPEN Sabah pada 26 Julai jam 10.00 pagi. Pasukan yang menjadi johan akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan yang dijadual diadakan pada September 2025 di Kuala Lumpur.  

Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK Menumbok (A), SMK Putatan, SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, SMK Bandau, Kota Marudu, Smk Kunak Jaya (Pasukan Kunak B), dan juga dari Smk Kunak Jaya (Pasukan Kunak A).

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama