Lelaki gersang tunjuk 'anu' kena cekup polis

Suspek tunjuk kemaluan di hadapan pelajar sekolah kena cekup polis. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Tindakan jijik seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang pelajar perempuan membawa padah apabila dia diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah dekat Merotai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar jam 4.30 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa yang berusia 15 tahun dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumahnya.

"Ketika melalui satu kawasan, mangsa dihampiri sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki tidak dikenali.

"Suspek pada awalnya berpura-pura bertanyakan arah jalan, namun secara tiba-tiba bertindak tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Terkejut dengan tindakan biadab itu, mangsa segera melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan kerana bimbang keselamatan dirinya.

Jasmin berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sebelum gerakan mengesan suspek dijalankan.

"Hasil siasatan dan risikan, polis berjaya mengesan suspek di sebuah rumah di kawasan Merotai dan menahannya bersama kenderaan yang digunakan dalam kejadian," ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan lanjut dan kenderaan pacuan empat roda itu turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tempoh 20 tahun dan sebat," tegasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama