KOTA KINABALU: Seorang juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman selepas disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Suspek disyaki menerima rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal antara tahun 2021 hingga 2024.
“Wang itu diterima melalui pelbagai transaksi sebagai habuan membantu mendapatkan projek yang ditawarkan PBT termasuk projek pembasmian kemiskinan, pembinaan rumah mesra Sabah, pembersihan pusat pembuangan sampah serta pembekalan alat ganti kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.