![]() |
Zulkahar Dusing, 30, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu. Foto | SS |
TAWAU : Seorang lelaki yang disyaki anggota kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkahar Dusing, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal mengetepikan anggapan pengedaran atas imbangan kebarangkalian.
Mengikut pertuduhan, Zulkahar didakwa mengedar 738.6 gram dadah berbahaya jenias Methamphetamine di tepi bangunan kedai Mr. DIY, Taman Sejati, Batu 5 Jalan Kuhara, di sini, pada kira-kira 11.40 pagi, 3 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B Akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan tertuduh, iaitu pada 3 Mei 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Shahlan Jufri.
Pada 5 Jun lalu, dua individu termasuk ketua kumpulan itu, Datuk Maslan Sani, 42, dijatuhi hukuman penjara lima tahun, manakala Nelson Yen Yee Chung, 47, dihukum penjara tiga tahun selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menjadi anggota dan membantu kumpulan jenayah tersebut, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Dr Lim Hock Leng.
Perbicaraan terhadap tiga lagi tertuduh termasuk Zulkahar, Rahman Burijin, 44, dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45, dijadual berlangsung dari 15 hingga 18 Julai ini.
Mereka sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Namun, selepas permohonan representasi diterima Pejabat Peguam Negara, pertuduhan terhadap mereka dipinda kepada pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Terdahulu, 10 individu lain turut mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan sama dan masing-masing dihukum penjara tiga tahun.