![]() |
Mohd Agil (kiri) dan Fairuz ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu. |
KOTA KINABALU: Affin Bank Berhad bakal dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bakal mengadakan kerjasama dalam literasi kewangan, sekali gus mengelak berlakunya kes penipuan kewangan (scam).
Pengerusi Kumpulan Affin Bank Malaysia, Datuk Mohd Agil Mohd Natt berkata kolaborasi menerusi taklimat literasi kewangan itu mampu meningkatkan kefahaman menguruskan kewangan dalam kalangan warga pendidik serta kakitangan sekolah, selain mempromosi produk baharu bank tersebut.
"Hari ini kita ada perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk bagaimana kita dapat membantu pembiayaan peribadi kepada guru-guru dan juga kakitangan Jabatan Pendidikan Sabah. Jadi, ini salah satu inisiatif yang kita beri, selain literasi kewangan untuk membantu mereka mengelakkan scam, mengelakkan daripada ditipu.
"Kita bagi juga taklimat-taklimat kewangan kepada mereka supaya mereka dapat menambahkan lagi pemahaman tentang menguruskan kewangan yang penting untuk pendidik-pendidik kita," ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Menurut beliau, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan Tun Musa mengenai beberapa rancangan serta produk baharu yang akan memberi manfaat kepada Sabah.
Mengulas lanjut, Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Komuniti Fairuz Radi menjelaskan, pihaknya turut berhasrat untuk mengembangkan kerjasama seumpama kepada beberapa lagi agensi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.
"Affin mempunyai lebih banyak program untuk bagi financing untuk buka akaun kepada syarikat dan individu di Sabah. Kita pun aktif berinteraksi dan berjumpa dengan syarikat-syarikat.
"Dalam lawatan hari ini, kita ada juga berjumpa dengan CEO-CEO syarikat GLC di Sabah untuk membantu mereka.
"Kita pun telah keluarkan beberapa produk-produk baharu, seperti produk-produk tradisional memang kita buat. Tapi yang sekarang ini, kita nak tumpukan kepada wealth products dan juga personal financing dan beberapa lagi inisiatif-inisiatif yang kita telah buat. Semua ini akan dikeluarkan di pasaran di Sabah," katanya.
Selepas pembukaan cawangannya yang ketujuh di Inanam pada hari ini, bank komersial itu juga menyenaraikan empat lagi daerah iaitu Keningau, Tuaran, Papar dan Penampang sebagai lokasi cawangan seterusnya, tahun depan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)