SiREU penghubung strategik pekerja, pengurusan LHDN Sabah


KOTA KINABALU: Kesatuan Pekerja Hasil Dalam Negeri Sabah (SiREU) memainkan peranan penting sebagai penghubung strategik di antara pihak pengurusan dan ahli-ahlinya, kata Presiden SiREU, Munirah Ahmad.

“SiREU bukan hanya menjaga kebajikan, tetapi turut membawa suara dan kepentingan pekerja ke peringkat pengurusan tertinggi.

"Kami berperanan sebagai jambatan komunikasi rasmi menerusi platform seperti Majlis Bersama Lembaga (MBL)," ujar beliau.

Munirah yang merupakan presiden wanita pertama dalam sejarah SiREU sejak ditubuhkan pada 1959 dan didaftarkan secara rasmi pada 3 Mac 1968, berharap kesatuan itu akan terus dihormati sebagai suara sah pekerja.

"SiREU ini mempunyai lebih 500 ahli yang terdiri daripada kakitangan gred 44 hingga NE1 di seluruh Sabah.

"Badan ini juga aktif melaksanakan lawatan ke cawangan-cawangan LHDN bagi menilai prestasi dan mengenal pasti keperluan semasa ahli di lapangan.

"Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, kami yakin SiREU mampu membantu ahli menghadapi cabaran kerja moden secara kolektif dan lebih bersedia untuk maju dalam kerjaya," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Selasa.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkenalkan pengurusan serta fungsi SiREU sebagai kesatuan yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan dan memperkukuh hubungan antara pekerja dan pihak pengurusan LHDN Sabah.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama