Program Komuniti Rakyat Madani di Sekong, 19 Jun ini


KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah akan mengadakan Program Komuniti Rakyat Madani di Sekong, Sandakan pada 19 Jun ini.

Pengarahnya, Datuk Norjeli Dais berkata program yang akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah itu merupakan salah satu program kolaborasi dua agensi tersebut dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"JAKIM Sabah bersama JAPEN Sabah membincangkan satu program yang telah dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini iaitu Program Komuniti Rakyat Madani yang akan dilaksanakan di pantai timur.

"Kita akan mengadakan beberapa siri program dari pagi hingga ke malam dan salah satu program menarik yang kita cuba tampilkan ialah siaran langsung Forum Anjung Al-Taqwa pada malam 19  Jun ini.

"Pada sebelah pagi, kita akan mengadakan beberapa program antaranya Tahsinul-Quran, Klinik fatihah dan juga beberapa program yang berkaitan dengan unsur-unsur Islam termasuk juga pengurusan jenazah Ziarah Ramadhani dan sebagainya.

"Saya difahamkan pihak JAPEN pun banyak juga program yang akan dilaksanakan sepanjang majlis tersebut dengan harapan mudah-mudahan program ini dapat kita laksanakan bersama," katanya semasa ditemui media selepas menerima kunjungan hormat JAPEN  yang diketuai oleh Pengarah Penerangan Jainisah Mohd Noor.

Beliau turut menyeru agar masyarakat akan turut sama hadir memeriahkan program berkenaan sambil mengukuhkan silaturahim.

"Saya menyeru kepada masyarakat sekitar Sekong untuk hadir sama-sama dalam menjayakan program ini, untuk kita mengukuhkan lagi persatuan mengukuhkan lagi silaturahim di antara kita agar kita menjadi masyarakat yang harmoni dari masa ke semasa," jelas beliau.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr. Diana Dominic.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama