Seramai 60 prospek terpilih menyertai program tersebut dalam usaha memberi nasihat guaman, mediasi selain membantu dari segi kesinambungan emosi dan kesihatan mental serta menambah kemahiran baharu dalam memvariasikan kebolehan para peserta.
Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, program baharu di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) itu menyasarkan golongan vulnerable sepertimana yang digariskan oleh United Nation (UN).
“Kerajaan Negeri Sabah melalui JHEWA ada menyediakan pelbagai bantuan khusus untuk para wanita di negeri ini antaranya Kursus Kemahiran, Bantuan Geran Peralatan dan Program Promosi Keusahawanan.
“Bantuan-bantuan ini bertujuan membina kapasiti, daya tahan serta daya saing kepada usahawan wanita berdaftar di bawah JHEWA dalam memvariasikan produk mereka agar boleh dipasarkan secara kompetitif.
“Penghasilan produk dari bengkel-bengkel Penjara Wanita juga berkualiti memandangkan prospek sudah mendapat latihan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman dan semoga kemahiran dipelajari akan dapat membantu apabila bebas kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Wanita Sejahtera@JHEWCARE di Penjara Wanita Kota Kinabalu, pada Selasa.
Mengenai penganjuran program seumpama, Flovia mendedahkan kerjasama antara agensi kerajaan seperti JHEWA, Jabatan Penjara dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau mahu beberapa perkara perlu diperhalusi bagi penganjuran program sama di penjara wanita lain di Sabah.
“Pendedahan awal terhadap bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan di samping ceramah-ceramah kesedaran bagi meningkatkan jati diri untuk terus maju dan melupakan kesilapan lalu.
“Sokongan dari masyarakat luar juga amat penting agar dapat menerima mereka semula bagi mengelakkan kesalahan berulang selain kita juga akan mempelawa agensi kerajaan lain dalam membantu usaha memberikan peluang kedua kepada prospek.
“Manusia akan membuat kesilapan tapi apabila mereka telah berubah takkanlah kita tidak mahu menerima mereka dan kita cuma mahu memberi yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat khasnya kepada mereka,” jelasnya.
Hadir sama, Pengarah JHEWA Haslina Ismail, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Timbalan Komisioner Penjara Tey Hock Soon, Pengarah Penjara Wanita Sabah Noor Sazlawati Zakaria dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Hendry Isut.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)